Sunday, January 15, 2017

Suara Facebook AZ 1-10


1. Antara azam yang bagus untuk tahun 2017 ini adalah...mahu menulis dan berbuat yang baik-baik sahaja di Facebook, sepanjang tahun. Jom kita!

2. Allah panjangkan umur kita sehingga kita dapat merasai nikmat tahun 2017. Antara hikmahnya : adanya peluang untuk kita meningkatkan lagi maqam ketaatan, kecintaan, kerinduan dan keredhaan agar lebih baik daripada tahun 2016.

3. Tanpa kita sedari, apabila kita merindui seseorang yang banyak berjasa kepada kita, PADA HAKIKATNYA kita sedang merindui Allah SWT, kerana... segala jasa-jasa orang itu terhadap kita sebenarnya adalah jasa-jasa Allah kesemuanya. Begitulah "pandang tembus" yang sepatutnya bagi para pecinta Allah SWT.

4. Ilmu-ilmu agama dan amal-amalku bertambah dengan pesatnya, tetapi hati tetap gusar seperti sebelum-sebelum ini juga. Mengapa ya?

Antaranya kerana selama ini engkau mengabaikan ilmu tentang pengurusan hati, iaitu ilmu tasawuf. Engkau menganggap ia sekadar tambahan, bukan pemberatan.

Walau ilmu agamamu setaraf super 'ulama dan amal-amalmu sebanding super 'abid, tanpa selok-belok jalan tasawuf, hatimu akan tetap keras kasar sehinggalah ke matimu. Selalu juga orang tidak menyedari akan keras kasar hatinya sehingga ke akhir hayatnya.

Tidak belajar, tiadalah tahu.
Tiada tahu, tiadalah amal.
Tiada amal, tiadalah rasa.
Tiada rasa, tiadalah "sampai".

5. Untuk hari ini (untuk setiap hari) :
Zikir harian tetap dibuat.
Solat sunat walau dua rakaat.
Baca Al-Quran walau satu ayat.
Dakwah walau dengan satu isyarat.

6. Dengan segala guru, segala kitab dan segala sanad yang ada sehingga ke zaman itu (kurun ke-5H), Imam Al-Ghazali masih gagal mencapai matlamat yang dihajatinya. Lalu dia pun terpaksa keluar beruzlah selama 11 tahun, barulah dia berjaya. Segala formula, rahsia dan resepi kejayaannya itu dikarangnya dalam uzlahnya itu sebagai kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Kita tidak mahu?

7. Apabila hati tiba-tiba berasa hendak berzikir, ringkas kata... itu petandanya Dia sedang melorongkan kita kepada-Nya. Berzikirlah dan bersyukurlah.

8. Antara yang sukar untuk diperolehi dalam perjalanan kerohanian ini ialah keikhlasan dan kesediaan untuk merendah diri.

9. Jika mukjizat agung Rasulullah saw ialah kitab suci Al-Quran, maka karamah agung Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali tidak lain ialah kitab pengurusan hati Ihya' 'Ulumuddin.

10. Salah faham tentang zuhud (dan kesalahfahaman yang sengaja dibuat oleh orang-orang yang buruk sangka terhadap tasawuf untuk menggambarkan zuhud) :
a) Zuhud kenalah miskin.
b) Orang kaya tidak ada yang zuhud.
c) Zuhud kenalah berpenampilan selekeh, kusut-masai dan buruk.
d) Kalau bekerja mencari nafkah, orang itu tidak zuhud.
e) Zuhud tidak boleh ada wang dan harta di tangan, semua mesti dikeluarkan pada jalan Allah.
f) Zuhud kena kurang membersihkan diri.
dan pelbagai lagi kesalahan gambaran zuhud.

*Kita teruskan dengan pembelajaran Kitab Zuhud daripada kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin untuk memahami erti zuhud sebenar.

No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails