Sunday, December 25, 2016

Cinta Allah itu bagaimana?

Sahaya punya satu kelemahan yang memang ketara... iaitu memendekkan sesuatu cerita yang panjang. Memang tidak sahaya nafikan hal ini.

Akhir-akhir ini ada beberapa orang yang bertanya tentang persoalan yang lebih kurang sama iaitu : “Cinta Allah ni bagaimana?”
Sahaya memang buntu untuk menjawabnya.

Sebenarnya persoalan ini datang bertalu-talu dalam seminggu ini kerana telah dihebahkan bahawa syarahan Kitab Cinta Allah (salah satu kitab daripada 40 kitab dalam kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin) yang sahaya syarahkan di Surau An-Nur sudah selesai dan majlis khatamnya akan diadakan dalam tempoh seminggu inilah. Hebahan majlis khatam itu yang menarik perhatian rasanya.

Bagaimanalah sahaya hendak menjelaskan sesuatu yang sahaya syarahkan sebanyak 60 kali kuliah (termasuk majlis khatam nanti) dalam bentuk beberapa ayat sahaja? Tambahan lagi isi kandungan Kitab Cinta Allah ini memang tinggi dan yang bertanya itu pula tentunya daripada pelbagai tingkat pemahaman (ada yang pada tingkat syari’at, ada yang pada tingkat tariqat, haqiqat, ma’rifat dan selepas ma’rifat).

Lemahnya sahaya bahagian ini...

Setelah beberapa hari memohon gerak daripada Allah dan merenung-renung, JAWAPAN RINGKAS sahaya (bagi yang mahukan jawapan ringkas) untuk kesemua golongan penanya itu begini sahajalah...

Jawapannya ialah : “Cinta Allah”.

1. Bagi yang pemahamannya selama ini di peringkat syari’at, fahamilah “cinta Allah” itu sebagaimana menurut tingkatan anda.

2. Bagi yang pemahamannya selama ini di peringkat tariqat, fahamilah “cinta Allah” itu sebagaimana menurut tingkatan anda.

3. Bagi yang pemahamannya selama di peringkat haqiqat, fahamilah “cinta Allah” itu sebagaimana menurut tingkatan anda.

4. Bagi yang pemahamannya selama ini di peringkat ma’rifat, fahamilah “cinta Allah” itu sebagaimana menurut tingkatan anda.

5. Bagi yang pemahamannya selama ini di peringkat sesudah ma’rifat, fahamilah “cinta Allah” itu sebagaimana menurut tingkatan anda.

Semuanya betul belaka, asalkan anda tidak melangkaui kadar pemahaman anda selama ini. Yang dirinya (kita sendiri umumnya tahu tingkatan diri kita) hanya berfaham syariat sahaja selama hari ini, janganlah sendiri-sendiri cuba memaham sebagaimana faham tingkat haqiqat. Risiko tersesat faham memang tinggi. Beginilah salah satu contohnya.

Sekiranya mahu memaham lebih daripada fahaman tingkat anda, maka kenalah doa dan usaha. Mohon kepada Allah pemahamannya dan berusaha cari guru, kitab dan orang-orangnya. Doa dan usaha berpisah tiada.

Begitulah jawapan ringkasnya, yang sebenarnya tidak berapa selesa pun untuk sahaya berikan. Hal ini kerana pada saya, dalam soal yang dalam-dalam sebegini, tidak ada jawapan pendek.

Bagaimana dengan jawapan panjang pula?

Untuk mendapatkan jawapan sebenar DARIPADA SAHAYA, jawapannya berbunyi begini :

“Sebenarnya kesemua 60 kali kuliah syarahan Kitab Cinta Allah ini ada kita muatkan di Youtube. Untuk memahami cinta Allah itu bagaimana, tuan-tuan dengarlah rakamannya dari fail no. 1 hingga fail no. 60. Insya-Allah akan dapat jawapan yang lengkap dan tepat. Boleh diulang-ulang dengar seberapa kali yang mahu sehingga mendapat pemahamannya.”

Ya, begitulah jawapan sebenar sahaya kepada persoalan-persoalan tentang cinta Allah ini.

Jadi, ikut keselesaan tuan-tuanlah sama ada mahu jawapan yang pendek ataupun jawapan yang panjang. Maafkanlah kelemahan ketara saudara tuan-tuan ini. Memang benar itu kelemahan sahaya.

Terima kasih kepada tuan-tuan yang bertanyakan soalan. Semoga Allah memudahkan segala urusan keduniaan dan keakhiratan kita semua. Sekali lagi mohon banyak-banyak maaf. Wallahua’lam. Wassalam.


Abu Zulfiqar
25 Disember 2016

No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails