Tuesday, September 13, 2016

Murid dan Maklumat Yang Dipelihara Guru

"Seseorang murid itu janganlah menyombong dengan ilmu yang diketahuinya lalu menentang gurunya."

"Bertanya kepada guru (apatah lagi terus menentang tanpa bertanya terlebih dahulu) dalam hal yang belum sampai tahapmu untuk memahaminya adalah dicela. Kerana itulah maka Khidhir melarang Musa bertanya (sebelum sampai ketikanya)."

"Oleh itu, tinggalkanlah bertanya sebelum tiba waktunya. Guru lebih tahu tentang keahlianmu (kebolehanmu) dan bila masanya sesuatu pengetahuan itu mesti diberitahu kepadamu."

- Imam Al-Ghazali, Ihya' 'Ulumuddin : Kitab Ilmu


Sekadar misalan:

Pengetahuan tentang alam berumahtangga dan proses terjadinya bayi di dalam kandungan hendak diajar kepada murid-murid prasekolah. Sesuaikah?

Formula Matematik untuk pelajar universiti hendak diajar kepada murid-murid Tahun 1 sekolah rendah. Sesuaikah? Kira campur tolak darab bahagi yang asas pun mereka masih merangkak-rangkak.

Maklumat ketenteraan tingkat Jeneral hendak diberi kepada prebet-prebet yang baru masuk askar. Sesuaikah?

Segala maklumat itu sebenarnya tidak tersembunyi tetapi disimpan buat sementara waktu dan akan dikeluarkan apabila orang-orang yang bakal menerima maklumat itu dirasakan layak untuk memikulnya. Jauh berbeza antara menyembunyi dengan menyimpan/memelihara. Kepada orang-orang yang belum mampu menanggungnya atau yang tidak mampu menanggungnya, tidaklah disampaikan maklumat-maklumat itu kepada mereka. Jika guru menyampaikan juga, maknanya guru itu seorang yang zalim.

Letakkan bahan buat kuih pada penimbang kuih, letakkan sayur dan ikan pada penimbang sayur di pasar, dan letakkan lori jentera pada penimbang jentera. Begitulah pertimbangan guru-guru yang adil. Mereka tidak akan meletakkan lori sawit untuk dijunjung oleh penimbang sayur-sayuran. Hancur penimbang itu nanti!

Imam Al-Ghazali menyatakan dalam kitab Ihya’ pada Kitab Ilmu :
Ditanyakan sesuatu kepada seorang ulama. Dia tidak menjawab. Lalu penanya itu bertanya lagi : “Tidakkah tuan ada mendengar sabda Nabi saw : “Sesiapa yang menyembunyikan ilmu yang bermanafaat, nescaya dia akan datang pada Hari Qiamat dalam keadaan pada mulutnya ada kekang daripada neraka.” (Ibnu Majah)?”

Maka ulama itu menjawab : “Tinggalkanlah kekang itu di sini dan engkau berlalulah. Sekiranya datang orang yang berfaham (yang mampu menanggung maklumat tersebut) tetapi aku masih sembunyikan juga, maka ketika itu letaklah kekang itu di mulutku.”

Kadang-kadang ada murid-murid yang dikuasai sifat-sifat mazmumah menyebabkan mereka tidak sabar, berasa sudah cukup bijak dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan terburu-buru dalam membuat keputusan. Mereka mempertikaikan guru-guru sedangkan mereka tidak tahu pun maklumat-maklmuat yang masih dipelihara oleh guru-guru mereka. Dirasakan prostesnya itu benar di sisi agama lalu mereka pun membuat keputusan sendiri terlebih dahulu.

Dalam menuntut ilmu kenalah ada sabar, ikhlas hati, mendahulukan sangka baik bukan mendahulukan sangka buruk, bersikap merendah diri, hormat, taat dan berkasih sayang. Jika tidak, kita mungkin akan menyusahkan diri (jika bukan di dunia pun, di akhirat nanti), guru dan pihak-pihak lain.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada banyak berprasangka kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentu kamu jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)

Umumnya : “Jika engkau mengikut aku, janganlah engkau bertanya tentang sesuatu sehinggalah aku sendiri yang akan menceritakannya kepadamu.” (Al-Kahfi : 70)

Wallahua'lam.

Abu Zulfiqar
13 September 2016

No comments: