Monday, September 12, 2016

BerTariqat Ghazaliyyah Sesudah Bertariqat

Persoalan :

Assalamualaikum ustaz.

Saya teringin juga hendak mengamalkan Tariqat Ghazaliyyah tetapi saya sudah pun mengamalkan Tariqat xxxxxxxx.

Mohon pandangan ustaz.



Penjelasan :

Waalaikumussalam.Tuan yang dimuliakan. Persoalan ini saya cuba jawab secara menyeluruh supaya isi jawapannya boleh dipakai berterusan untuk orang-orang lain juga.

Sememangnya ada individu-individu yang berminat untuk mengikuti Tariqat Al-Ghazaliyyah tetapi mereka teragak-agak dan ada yang memendamkan sahaja hasrat mereka memandangkan mereka sudah pun terlibat dengan sesuatu organisasi tariqat ataupun sekurang-kurangnya ada mengamalkan pelajaran tariqat dengan tariqat tertentu.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan situasi sebegitu. Sekarang saya senaraikan antara faktor-faktor tersebut dan cuba memberikan pencerahan yang sesuai, insya-Allah.


Permasalahan 1 :
Khuatir amalan sedia ada akan terganggu, tidak sempat diselesaikan, dan akan jadi banyak sangat.

Penjelasannya :
Insya-Allah amalan sedia ada tidak akan terganggu. Hal ini kerana :

1. Amalan Tariqat Ghazaliyyah ini sangat ringkas.
2. Zikir hariannya mudah, pendek-pendek dan sedikit.
3. Dalam masa yang singkat sahaja boleh diselesaikan. Contohnya zikir harian pada hari Sabtu ialah “La IlahaillAllah” 1,000 kali. Itu sahaja.
4. Zikir Harian boleh dibuat pada bila-bila masa, sambil-sambil pun boleh. Tidak semestinya kena berada di tempat tertentu dengan gaya duduk tertentu dan pada masa tertentu. Boleh dibuat sedikit-sedikit dan disambung apabila ada kelapangan.
5. Sekiranya tidak boleh bersuara atau letih untuk bersuara, di hati pun sudah memadai.
6. Jumlahnya juga tidak mesti cukup bilangan 1000. 1000 itu sekadar untuk menunjukkan banyak. Contohnya jika kita mampu buat 100 sahaja, buatlah 100.
7. Amalan Wirid Harian pula hanya untuk orang-orang yang sudah stabil amalan Zikir Hariannya.
8. Hanya ada 10 kalimah yang pendek-pendek sahaja, yang dianjurkan untuk membaca 10 kali setiap satunya. Jadi kesemuanya 100 kali. Sekiranya mampu baca 1 kali sahaja (10 kalilah jumlah keseluruhannya), bacalah 1 kali sahaja. Cara mengamalkannya pun sama dengan cara mengamalkan Zikir Harian.
9. Jika mahu, selesaikanlah terlebih dahulu amalan-amalan sedia ada, kemudian baru buat Zikir Harian Tariqat Ghazaliyyah ini. Boleh. Tidak ada masalah. Maksudnya anda masih punya banyak masa dengan tariqat atau tariqat-tariqat anda yang lain itu.


Permasalahan 2 :
Khuatir kena menghadiri banyak majlis.

Penjelasannya :
1. Dalam Tariqat Al-Ghazaliyyah, tidak ada apa-apa majlis yang perlu dihadiri kecuali pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin atau kitab Minhaj al-’Abidin, sekurang-kurangnya sebulan sekali. Carilah di mana-mana pun walaupun pengajarnya tidak berTariqah Ghazaliyyah. Sekiranya tidak diperoleh juga, buat sementara waktu bolehlah ikuti pengajian kitab Siyarus Salikin, atau Bidayatul Hidayah atau Hidayatus Salikin.
2. Tarqah Al-Ghazaliyyah idak ada sebarang majlis tetap, tambahan atau sampingan seperti tawajuh, suluk, maulid, haul dan sebagainya.
3. Cuma sekiranya ada keluangan masa, sangat digalakkan untuk pergi mendapatkan maklumat lagi tentang Tariqah Al-Ghazaliyyah ini kepada guru-guru, ahli atau majlis-majlis penerangan Tariqat Ghazaliyyah. Itu sahaja.


Permasalahan 3 :
Khuatir terikat dengan (guru atau perkumpuan atau organisasi) Tariqat Ghazaliyyah.

Penjelasan :
1. Umumnya Tariqat Ghazaliyyah bukanlah sebuah organisasi tariqat. Maka anda tidak akan terikat dengan tariqat ini.
2. Tariqat Ghazaliyyah bersifat untuk semua. Sesiapa yang tahu, boleh mengamalkannya. Sesiapa yang tidak mahu, boleh sahaja meninggalkannya. Tidak disyaratkan untuk berbaiah atau mengambil ijazah.
3. Tariqat Ghazaliyyah tidak bersifat menarik, mengumpul dan menyekat manusia. Sebaliknya bersifat menyebar kepada seluruh umat manusia.


Permasalahan 4 :
Khuatir tidak dibenarkan atau dimarahi atau disisihkan oleh guru dan organisasi tariqat sedia ada.

Penjelasan :
Jelaskan dengan baik kepada mereka dan mohon keizinan. Boleh jadi mereka tidak tahu dan mungkin juga tersalah faham. Sebenarnya :
1. Tariqat Ghazaliyyah tidak mengambil, mencuri atau merampas mana-mana murid/pengamal tariqat lain. Orang yang mengambil tariqah ini boleh terus kekal dengan tariqat-tariqatnya selama ini. Anggaplah Tariqat Ghazaliyyah ini sebagai pengkayaan sahaja.
2. Tariqat Ghazaliyyah tidak mengganggu amalan dan komitmen murid dengan tariqat lain.
3. Tariqat Ghazaliyyah tidak menggangu perjalanan kerohanian murid bahkan akan dapat membantu melajukan lagi pencapaiannya bersama organisasi tariqat lain.
4. Ringkasnya, Tariqat Ghazaliyyah langsung tidak bersaing atau berebut dengan mana-mana guru, organisasi dan perkumpulan mana-mana tariqat pun.
5. Bahkan ahli-ahli Tariqat Ghazaliyyah ini sendiri bebas untuk pergi berguru dengan mana-mana guru, organisasi atau perkumpulan tariqat lain.

Semoga penjelasan ringkas ini bermanfaat buat semua.


Abu Zulfiqar
25 Ogos 2016

No comments: