Wednesday, August 17, 2016

Catatan Ringkas Audio Kitab Cinta 7

CATATAN RINGKAS ISI AUDIO KITAB CINTA 7

Pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke--150 (syarahan Kitab Cinta Allah kali ke-7).

Siapakah yang sesuai untuk belajar Kitab Cinta ini?

1. Orang yang belum tahu bahawa cinta makhluk kepada Allah sememangnya ada.

2. Orang yang belum tahu bahawa cinta Allah kepada makhluk pun memang ada.

3. Orang yang belum tahu (dan belum faham, belum sedar, belum amal, belum menghayati dan belum mencapai) bahawa mencintai Allah itu adalah wajib, bukan pilihan.

4. Orang yang belum tahu (dan belum faham serta belum sedar) bahawa sekiranya tidak mencintai Allah, orang itu akan dimurkai oleh Allah.

5. Orang yang belum tahu (dan belum faham, sedar, amal) bahawa cinta akan Allah ini adalah jalannya, tariqahnya (jalannya) dan sukatan pelajarannya.

6. Orang yang belum tahu (dan belum faham, sedar, amal, hayati dan capai) bahawa cinta akan Allah wajiblah melebihi cinta yang lain-lain. Cinta akan Allah mestilah no. 1, tak boleh no. 2.

7. Orang yang belum tahu (dan belum faham, sedar, amal, hayati dan capai) bahawa pada peringkat yang lebih tinggi, kita mestilah mencintai Allah sahaja. Cinta kita sebenarnya kena pada Allah sahaja, tidak kena pada mana-mana makhluk pun.

8. Orang yang belum tahu (dan belum faham, sedar, amal, hayati dan capai) bahawa pada peringkat yang lebih tinggi lagi, yang sebenar-benar ada yang sebenar-benar wujud) hanyalah cinta Allah sahaja.

9. Orang yang belum tahu (dan belum faham, sedar, amal, hayati dan capai) bahawa cinta Allah adalah maqam tertinggi dalam perjalanan kerohanian. (Mungkin sebelum ini kita ada usahakan maqam taubat, syukur, sabar, takut dan harap, zuhud, tawakkal, taat dan sebagainya).

10. Orang yang belum tahu (dan belum faham, sedar, amal, hayati dan capai) bahawa cinta Allah sangat mustajab untuk mengurangkan tekanan-tekanan (stress) lalu membahagiakan rohani dan jasmani kita.

(*Sesiapa yang sudah ada kesemua yang di atas, maka tidak perlulah dia mengikuti tarbiyyah Kitab Cinta ini. Yang belum ada, elok sangatlah ikuti)


Dalam pelajaran, ada beberapa peringkat (dari bawah naik ke atas) :
1. Peringkat tahu (sekadar tahu tapi belum faham, belum ada kesedaran, belum mengamal).
2. Peringkat faham (sudah tahu dan sudah faham, tapi belum ada kesedaran diri).
3. Peringkat sedar (sudah ada kesedaran, maksudnya sudah berniat dan merancang nak buat).
4. Peringkat amal (sudah pun berbuat, tapi belum sampai ke tahap menghayati apa-apa yang diperbuat).
5. Peringkat menghayati.
6. Peringkat mencapai matlamat.

Jadi, kita belajar Kitab Cinta ini mahu sampai ke peringkat yang mana? (Fikir-fikirkan dan ambil tindakan).

Contoh :

1. Peringkat tahu - Ali dapat tahu esok banjir besar akan berlaku. Tapi sekadar tahu, tidak faham, tidak rancang apa-apa dan tidak buat apa-apa.

2. Peringkat faham - Abu juga dapat tahu esok akan banjir besar, dan dia faham risiko yang mungkin dihadapi seperti merebaknya penyakit, makanan minuman tidak cukup, silap-silap ada orang mati dan sebagainya. Tapi belum ada kesedaran kerana Abu tidak merancang apa-apa.

3. Peringkat sedar - Ahmad dapat tahu dan faham, lalu dia sedar yang dia mesti bertindak. Dia pun merancang untuk selamatkan dokumen-dokumen penting, ubah kenderaan, sedia ubat-ubatan, bahan makanan, dan sebagainya. Sudah rancang, cuma belum buat.

4. Peringkat amal - Ahmad buat semua yang dia rancang tadi.

5. Peringkat menghayati - Ahmad menghayati amal dan tindakannya tadi. Dia buat bersungguh-sungguh, tidak sekadar melepaskan batok di tangga.

6. Peringkat mencapai - Banjir pun berlaku dan Ahmad berjaya mencapai matlamatnya untuk menyelamatkan diri, keluarga, harta benda dan lain-lain.


Dalam cinta Allah pun sebegitu juga.

1. Peringkat tahu - Baru dapat tahu tentang cinta Allah, pelajarannya dan lain-lain.

2. Peringkat faham - Dia baru faham mengapa mesti cinta Allah, mengapa wajib cinta Allah no. 1 dan sebagainya.

3. Peringkat sedar - Ada cetusan dalam hatinya untuk mendapatkan cinta Allah itu lalu dia mula merancang jalan-jalan untuk mencapai cinta Allah itu.

4. Peringkat amal - Dia mula belajar ilmu cinta Allah, cari guru yang cinta Allah dan mentarbiyyahkan cinta Allah, cari majlis-majlis yang mentarbiyyahkan cinta Allah, cari kawan-kawan yang fikrahnya cinta Allah, cari kitab-kitab tentang cinta Allah dan sebagainya. Dia pun mengamalkan ilmu-ilmu cinta Allah.

5. Peringkat menghayati - Dia tidak sekadar amal kosong begitu sahaja, tetapi menghayati amal-amalnya itu (*dengan panduan dan pemantauan guru).

6. Peringkat mencapai - Akhirnya dia berjaya mencapai maqam cinta Allah.


Kata Imam Al-Ghazali, sesiapa yang cinta mana-mana makhluk tetapi tidak tembus kepada Allah, iaitu cintanya tersangkut pada makhluk, orang itu jahil dan lalai dalam ma’rifah. Kita belajar ini kerana hendak keluar daripada kepompong jahil dan lalai itu tadi.

Semua kecantikan, kebagusan, kehebatan, kebaikan adalah daripada Allah. Oleh itu sewajibnyalah kita mencintai Pemilik semua itu iaitu Allah. Makhluk-makhluk ini sebenarnya (pada hakikatnya) hanyalah tempat laluan sahaja kepada pekerjaan Allah.

Mencintai yang dicintai itu, dicintai.
Contoh : Kita sayang Saiyidina Umar, manakala Saiyidina Umar cinta akan Allah. Perlakuan kita (mencintai Saiyidina Umar) itu dicintai oleh Allah.

Mencintai yang dicintai itu, dicintai.
Kita cinta Saiyidina Umar sedangkan dia dicintai oleh Allah. Jadi sikap kita (mencintai Saiyidina Umar itu) dicintai oleh Allah.

Dicintai yang dicinta itu, dicintai.
Kita dicintai oleh Saiyidina Umar (atau mana-mana ulama, wali), sedangkan Saiyidina Umar dicintai oleh Allah. Oleh itu kita dicintai oleh Allah.

Dari segi hakikatnya, semua cinta datang daripada Allah.

(*Imbas sedikit pelajaran Kitab Tauhid sebelum Kitab Cinta ini dahulu) :
Apabila guru cakap : “dari segi syariat”, kita kena set fikiran kita - itu dari sudut pandangan perbuatan/pekerjaan makhluk.
Apabila tok guru cakap : “dari segi hakikat” - maksudnya guru sedang cakap dari sudut pandangan pekerjaan/perbuatan Tuhan.

Yang turunkan hujan ialah angin, awan, atau malaikat yang semuanya makhluk. Dari segi syariatnya, yang turunkan hujan ialah makhluk. Kita lihat dari sudut pandangan pekerjaan makhluk.
Tapi dari segi hakikatnya, yang turunkan hujan ialah Allah. Selain daripada Allah, semua makhluk tidak ada sebarang kuasa untuk turunkan hujan.

Syariat - Nabi Muhammad yang lempar batu ke arah musuh.
Hakikat - Nabi Muhammad mana ada sebarang kuasa untuk melempar, melainkan Allah yang melempar.

Syariat - Saiyidina Hamzah yang memanah.
Hakikat - Aanllah yg memanah. Saiyidina Hamzah mana ada kuasa hendak memanah.

Syariat - Umar Mukhtar (Lion of the Desert) yang tembak guna senapang.
Hakikat - Semua itu pekerjaan Allah, bukan pekerjaan Umar Mukhtar. Umar Mukhtar mana ada sebarang kuasa.

Syariat - Air yang membasahkan.
Hakikat - Allah sahaja yang berkuasa membasahkan. Ringkasnya - Allah yang membasahkan, bukannya air. Air tidak ada sebarang kuasa.

Syariat - Api yang membakar Nabi Ibrahim.
Hakikat - Bukan api yang membakar tetapi Allah yang membakar. Api tidak ada kuasa langsung untuk membakar.

Syariat - Ubat yang sembuhkan skait. Makan ubat, hilang sakit kepala.
Hakikat - Ubat langsung tidak ada kuasa untuk sembuhkan penyakit. Allah sahaja yang mampu hilangkan sakit.

Syariat- guru yang mengajarkan.
Hakikat - guru langsung tidak ada kuasa dan ilmu tidak ada kuasa untuk mengajar. Allah yang mengajarkan. Tetapi guru bukan Allah dan Allah tetap bukan si guru. Berhati-hati, kerana sangat halus pembicarannya.

Sungguhpun yang memanah, menembak, membakar itu ialah Allah, tetapi semua itu tetap bukan Allah, bukan zat Allah. Nabi Muhammad bukan Allah. Saiyidina Hamzah bukan Allah. Guru bukan Allah.

Kita ini tidak ada jasa langsung dari segi hakikatnya, kerana semua jasa adalah kerja Tuhan.

Dari segi hakikatnya, semua cinta datang daripada Allah. Makhluk tidak ada rasa hendak mencinta. Hanya Dia yang mencinta, dengan qudrat Dia, bukan dengan qudrat selain Dia.

Dalam bahasa sufinya, ke mana sahaja kamu memandang, di sana ada Wajah Allah. Kita pandang ke mana pun, akan nampak pergerakan daripada Allah dan bukannya pergerakan daripada makhluk.

Dari segi hakikatnya, segala puji-pujian dalam alam ini seperti cantiknya, baiknya, dermawan, suci dan lain-lain semuanya Allah yang memuji dan patah balik kepada Dia. Tak kena pun pada kita. Itu maksud Alhamdulillah.

Dari segi hakikatnya Allah mencintai Dirinya sendiri. Yang Mencinta dan Yang Dicinta adalah sama. Puji-pujian itu daripada Allah ia datang dan kepada Allah tempat kenanya, tempat kembalinya. Terima kasih pun begitu juga. Daripada Allah ucapan/perasaan terima aksih itu datang, dan kepada Allah jugalah tempat tuju dan tempat kenanya. Kita sendiri pun macam tu juga. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Pada hakikatnya tidak ada mana-mana makhluk yang mencinta, dicinta atau bercinta. Yang ada hanya satu cinta, iaitu Allah mencintai DiriNya.

Tanggungjawab orang yang hanya ada ilmu syariat, belum ada ilmu hakikat :
Mesti berusaha mencapai yang paling dicintai mestilah Allah. Allah mesti nombor 1. Tidak boleh cinta selain Allah nombor 1. Ataupun sama-sama cinta Allah dan selain Allah nombor 1, tak boleh juga.

Tanggungjawab orang yang ada ilmu syariat dan sudah ada ilmu hakikat :
Tidak sekadar mencintai Allah nombor 1, bahkan kena sedar (dan hayati serta amal) bahawa Yang Mencinta dan Yang Dicinta hanyalah satu. Ada satu cinta sahaja.

Apabila kita berjaya mencapai ma’rifat, insya-Allah rasa bangga dir akan menurun bahkan hilang terus. Ketika itu baru betul-betul datangnya ikhlas, kerana kita sudah faham bahawa Allah yang buatkan kita jadi baik, bukannya diri kita, dari segi hakikatnya.

“Saya nak belajar ilmu cinta Allah, tapi pelajaran hakikat, makrifat, tasawuf, sufi semua tak mau. Semua itu bid’ah (yang sesat ke neraka yakni bid’ah dhalalah).”
Orang macam ini boleh sampaikah maqam cinta Allah? Tak akan boleh sampai, kerana pelajaran cinta Allah ini adalah pelajaran tasawuf. Ilmu ini ringkas kata tidak ada dalam ilmu-ilmu agama yang lain seperti ilmu mustalah hadis, ilmu faraidh, ilmu jenis-jenis bacaan Al-Quran dan lain-lain.

Makhluk tetap makhluk, Allah tetap Allah.

Kisah benar dua orang sahabat. Yang A kebetulan bawa sebilah sabit.
Dia bertanya kepada Si B (yang asas-asas agama pun tak berapa nak lepas) : Allah Taala tu siapa?
B : Tuhanlah.
A : Tak! Akulah Allah Taala!
B : ....................???
A : Engkau mengaku tak yang aku ni Allah Taala?
B : Hah? Angin pun aku tak nampak, ni engkau nak aku mengaku yang engkau Allah Taala? Pening terus!
A : (Sambil mengacu dengan sabitnya) Baik engkau mengaku yang aku ni Allah Taala. Kalau tak, aku sabit!
B : Engkau sabit aku, kalau aku tak mati, aku repot kat polis!
Nasib baik di tak jadi nak sabit kawannya. Sampai setara itu, punya nak mengaku dirinya Allah Taala.

Kata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Misykatul Anwar, tidak ada Dia melainkan Dia. Tiada yang disembah selain Dia. Tiada Yang Menyembah selain Dia. Kata-katanya ini kita kena fikir dari sudut pandangan hakikat, jangan fikir dari sudut pandangan syaraiat, kerana tak akan sampai.

Mengapa kena cinta akan Allah? Antaranya, kerana kalau bukan kerana Allah, kita tak hidup, tak ada nyawa, tiada jasad, tiada perasaan, tak mampu berrfikir, dan sebagainya. Ada tak satu kuasa lain yang boleh bagi itu semua? Tak ada.

Bagaimana untuk mendapatkan cinta Allah? Langkah pertama - minta kepada Allah agar Dia kurniakan cinta kepada kita, kerana Dia Tuan Punya Cinta.

Cinta itu buahnya makrifah. Kalau pokok subur tapi tak ada buah, maksudnya tak ada cinta, setakat kenal shajalah. Lagi sihat pohon makrifah, lagi bagus buah-buahnya. Tak sihat pohon makrifah, kurang molek buah-buah yang dihasilkan. Sebab itu kita belajar tauhid terlebih dulu, nak kenal Allah. Kalau tak kenal tiba-tiba nak cinta, tak sampai cintanya.

Azazil kenal Allah tapi tak sampai ke peringkat cinta Allah. Kalau dia cinta, sudah tentu dia akan ikut arahan Allah iaitu supaya bersujud kepada Adam, tetapi dia tak mahu. Kalau betul cinta, Allah suruh buat apa pun, pasti dia buat.

Sudah makrifat, tetapi tak sampai kepada cinta, rugi. Ada ilmu (pohon) makrifah, tapi gagal keluarkan buah cinta - rugi.

Apa-apa sahaja contoh dan ibarat yang kita kaitkan dengan Allah, hal itu hanyalah untuk menghampirkan kepada faham. Jangan rasa itu adalah contoh atau ibarat yang sebenar, kerana tidak ada sebarang contoh, tamsilan atau ibarat yang tepat untuk Allah.

Tamat imbas kembali.

Ilmu makrifat , ilmu tasawuf ini ilmu yang halus-halus dan seni-seni. Sebab itu cara iblis syaitan nak rosakkan, seleweng atau gelincirkan kita pun adalah dengan cara yang halus-halus dan seni-seni juga. Kita tak perasan. Maka berhati-hatilah memilih kitab, kumpulan/jemaah dan guru-guru.

Teringat kisah dulu-dulu. Ada orang ajak : “Jom join kumpulan kami. Tok guru kami wali Allah!” Awal-awal dah angkat tok guru dia. Bukan tok guru saja, katanya rata-rata dalam kumpulan mereka itu wali Allah belaka. Termasuk dia le kot. Ingatkan dia cakap macam tu kita akan lagi tertariklah agaknya. Padahal kita lagilah tak tertarik. Awal-awal (belum apa-apa lagi) sudah dok angkat diri, padahal tasawuf ni menunduk.

Ada pula yang kata dapat perintah daripada Tuhan secara laduni supaya bertapa dalam gua. Bertahun. Hajat awal nak makan apa yang ada di sekitar itu sahajalah. Selang beberapa bulan, dia suruh orang hantar makanan, hantar nasi. Solat berjemaah dan solat Jumaat tak tahulah macam mana. Kalau dia boleh terbang ke Makkah tak tahulah. Keluar-keluar daripada pertapaan, mengaku jadi Sultanul Ariffin. Kononnya dulu setiap malam Nabi Khidhir datang mengajar.

Ada pula yang mendakwa kononnya kalau betul seseorang itu ahli tasawuf, bermakrifat, wali Allah, dia tidak akan bekerja. Kerana dia sudah yakin semua rezeki daripada Allah. Jadi dia pun tak kerjalah. Tapi makan minum cukup, sebab anak murid dok layan. Itu bukti dia wali Allah? Tok-tok guru lain semua bekerja, mengajar dan mengambil upah, ada bisnes dan lain-lain, maka bukan walilah.

Selepas Rasululah saw, yang paling afdhal adalah 4 orang khalifah. Tengok 4 orang khalfah ini, lebih hebat daripada tok guru dia lagi. Semua mereka bekerja. Imam Asy-Syafi’i jadi qadhi, Umar Abdul Aziz jadi khalifah, pernah jadi gabenor, malah pernah bekerja dengan kerajaan masa Hajjaj berada dalam pemerintahan. Imam Al-Ghazali, Imam Ahmad Al-Ghazali, Tun Perak, Sultan Muhammad Al-Fateh, gurunya Shamsuddin al-Wali, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi dan lain-lain, semuanya bekerja. Takkan nak kata semua ni bukan wali Allah melainkan tok guru orang itu tadi sahaja? (*Uwais Al-Qarni, Huzaifah ibnu Yaman, Abdur Rahman bin Auf - semua bekerja mencari nafkah. Maksudnya tidak bekerja atau tidak mencari nafkah bukanlah syarat atau bukti seseorang itu wali Allah atau tidak).

Orang tolong kita dengan harta, duit, layan kita dengan lemah-lembut, selamatkan kita daripada musuh-musuh, jadi perantara untuk kita cari kerja dan sebagainya. Kita pun sayang akan dia. Tapi sayang kita jangan terhenti setakat dia. Kena faham bahawa Allah yang gerakkan kaki tangan dan semua tentang dia. Allah yang rancang sejak azali. Allah yang tolong kita, bukannya makhluk (dari segi hakikatnya). Jadi kita kena ‘pandang’ Allah.

Kita lapar siapa bagi makan, siapa bagi kenyang? Allah. Kita sakit, siapa bagi sihat? Alllah, bukannya ubat atau doktor.

Yang tolong kita selama hari ini ialah Allah, bukannya makhluk. Semua yang tolong kita digerakkan oleh Allah. Yang paling berjasa ialah Allah. Dan pada peringkat tinggi lagi, satu-satunya Yang Berjasa ialah Allah. Kita langsung tak ada jasa. Itu dari segi hakikatnya.

Daripada jutaan sperma yang berenang-renang, Allah pilih kita. Bukannya emak kita yang pilih. Yang bagi makan kepada kita sepanjang berada dalam kandungan, bukan bapa kita. Yang bentukkan diri kita bagi keluar tangan, kaki, kepala, tulang belakang, urat-urat saraf, semuanya Allah, bukannya doktor.

Telinga tersumbat, tak dengar, berdesing dan sakit. Jumpa doktor, selesai, hilang masalah. Punya berterima kasih, terasa macam nak peluk doktor. Padahal Allah bagi telinga kita elok sihat sudah berapa lama dah. Sakit gigi, sampai ke belakang (kepala dan tengkuk) sakitnya. Jumpa doktor, selesai masalah. Punya rasa berterima kasih, terasa macam nak peluk doktor. Tapi doktor perempuan, isteri orang pulak. Masalahnya, kadang-kadang tak ada pun perasan nak berterima kasih kepada Allah.

Bagi ahli-ahli sufi, dunia ini pun dah seakan syurga dah, tak terhitung nikmat yang ada yang kita dok kecap. Alangkah banyaknya nikmat berbanding mudarat. Tapi kalau kita terkena mudarat, seolah-olah tak pernah dapat nikmat (punya mengadanya). Padahal demam tuu kadang-kadang, yang dok sihat berapa puluh tahun dah.

Zaman remaja, saya naik basikal keluar dari simpang kampung. Ada sebuah motosikal yang ditunggang oleh dua orang cina. Dia nak jalan jugak, kita mengelak. Padahal memang jalan kita dan dia sepatutnya kena berhenti. Lepas itu saya pun tengok belakang, dia tunjuk isyarat lucah. Saya pusing pulak. Sepatutnya saya buat tak tahu, berlalu sahajalah. Entah mengapa pergi pusing balik. Tahu dah, memang saya bakal kena belasah. Dalam dok berlawan cakap, tiba-tiba ada teksi berhenti. Turun satu orang lelaki, tak kenal, tak pernah tengok, berambut panjang, keriting, seluar ketat, bergaya rockers. Dia tolak cina-cina tu dengan dada dia sahaja. Tak berani mereka. Saya punyalah berterima kasih, tapi tak terkeluar di mulut, dalam hati sahaja. Entah mengapa tak terucap. Kenapalah aku tak terucap terima kasih? Sampai sekarang dok teringat dan rasa sangat berterima kasih. Tak pernah jumpa dah lelaki tu. Sebenarnya yang gerakkan lelaki itu dan yang bagi fikiran kepadanya nak tolong kita ialah Allah. Terima kasih kepada Allah.

Air tak boleh bagi hilang haus dan tak boleh membasahkan. Allah yang berkuasa menghilangkan haus dan membasahkan. Api tak boleh membakar, elektrik tak boleh menyalakan lampu, tok guru dan kitab tak boleh bagi faham. Duit banyak tak boleh bagi cukup. Hanya Allah yang boleh.

TAMAT AUDIO KITAB CINTA ALLAH KALI KE-7


*Tulisan ini hanyalah ringkasan. Untuk mendapatkan pemahaman yang lebih cantik dan tepat, tonton atau dengarlah rakamannya.


No comments: