Thursday, July 21, 2016

Catatan Ringkas Audio Kitab Cinta 1

CATATAN RINGKAS ISI AUDIO KITAB CINTA 1A

“Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya.” (Al-Maidah : 54)

“Orang-orang beriman, sangat cinta kepada Allah.” (Al-Baqarah : 165)

Sebelum ini kita sudah lalui Kitab Tauhid (dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin). Antara matlamat belajar kitab tauhid sebelum ini ialah untuk betulkan sembahan (iaitu hendak sembah Allah Yang Esa), hendak tepatkan sembahan, hendak kenal Allah, hendak dekatkan diri kepada Allah dengan sedekat-dekatnya (walaupun kita sedia maklum bahawa zat Allah tidak terpengaruh dengan jarak, kerana antara kita dengan Allah ada hijab-hijabnya sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah lagi karya Imam Al-Ghazali iaitu kitab Misykat Al-Anwar yang sudah kita sentuh ketika membahaskan Kitab Tauhid dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin sebelum ini), serta hendak memahami hakikat dan mencapai ma'rifat. Begitulah antaranya.

Kedudukan Kitab Cinta. Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini ada 40 kitab di dalamnya. Kitab yang ke-36 itulah Kitab Cinta.

Yang bercinta dengan makhluk - mandi pun tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang, kalau termenung dan terkenang tu tak habis-habis, tonton tv tapi tak tahu apa yang dia tonton. Begitulah hebatnya cinta akan makhluk.

Cinta Allah adalah cinta sejati. Cinta adalah kemuncak dalam tasawuf.

Apa-apa yang kita selalu teringat dalam keadaan kita suka akannya, itulah cinta. Apa-apa yang kita selalu teringat tetapi kita tidak suka akannya, itulah masalah. Contohnya hutang. Kita selalu teringat tetapi ia menyesakkan kepala kita. Maka ia jadi masalah.

Cinta manusia, dapat tengok bumbung rumah pun jadilah. Petang-petang lalu di batas sawah, pakaian orang yang kita cinta ada tersidai. "Ni baju Zaleha ni." Rasa seronok. Nampak kasut Zaleha di masjid, di kenduri, di balai raya, rasa sangat seronok, sebab cinta. Kalau Zaleha hantar surat, berulang kaji baca walaupun dah faham. Baca betul dah banyak kali, baca kot terbalik pulak. Khatam surat itu banyak kali walaupun Al Quran sendiri tak berapa kali khatam. Kalau dapat tulis nama orang yang kita cinta atas pasir, alangkah lazatnya. Terdengar orang lain sebut nama yang kita cintai, cepat-cepat kita bagi perhatian, kita pasnag telinga. Sepatutnya kita dengan Allah kena sampai macam tu, bahkan lebih lagi.


CATATAN RINGKAS ISI AUDIO KITAB CINTA 1B

Kita tengok Kaabah dan masjid surau, tapi rasa biasa-biasa sahaja (tidak rasa seronok, tidak membawa kita ingat dan kasih kepada Allah), maksudnya belum sampai maqam cinta Allah lagi

Orang yang cinta akan Allah, baca kitab Al-Quran rasa suka, dengar bacaan Al-Quran rasa suka, bahkan memandang kitab Al-Quran pun rasa suka. Apabila dia melihat alam, dia ingat akan Allah pada semua yang berlaku.

Tulis nama kekasih, kita dah rasa suka, sepatutnya tulis nama Allah pun kena lebih rasa suka. Sebut nama orang yang kita sayang dah rasa sedap, sepatutnya zikir nama Allah pun kena rasa sedap (bahkan lebih lagi).

Bagi orang yang mencintai Allah, dengar laungan azan akan rasa sedap. Tapi kalau azan dilaungkan, tapi tidak rasa sedap, tak rasa apa-apa....... belum sampai maqam cintalah tu. Dari kecil pendidikan kita mengajar kita cinta tanah air, cinta adat pusaka, cinta ibu bapa, cinta negara dan lain-lain, tapi cinta Allah sangat kurang (sekadar sentuh-sentuh sikit-sikit sahaja).

Yang bersihkan hati kita dari segi syariatnya ialah kitalah kerana kita yang berusaha. Termasuklah tidak mahu berbuat dosa, rajin berzikir, rajin baca Quran, suka bergaul dengan orang-orang soleh dll. Semuanya kerja kitalah. Tapi dari segi hakikatnya, Allah yang bersihkan hati kita. Selain Dia, tidak ada sesiapa pun yang dapat membersihkan hati makhluk-Nya, baik malaikat, diri kita, Nabi Muhammad saw atau yang lain-lain. Hanya Dia yang ada kuasa.

Yang jaga /memelihara hati kita daripada terpengaruh dengann dunia, dari segi hakikatnya, ialah Allah. Hati kita jadi ikhlas? Dia juga yang punya kerja. Namun dari segi syariatnya, kita wajib berusaha. Dalam berusaha, kena banyak doa. Jangan usaha sahaja tapi tak doa.

Bagi ahli-ahli tasawuf, hasil daripada pengetahuan dan amalan yang di atas, Allah menjadi “terang”, “jelas” dan “nampak” kepada mereka. Ingatlah, yangg bagi kita faham ialah Allah, bukannya disebabkan kita belajar. Belajar sebagai satu usaha dan ikhtiar sahaja.

Kita sukar nak nampak yang ghaib, yang batin, dan yang makrifat kerana hati kita bersalut dengan debu-debu. Sebab itu kita tak boleh nak tangkap apa yang dipancar daripada alam ghaib sana oleh Allah SWT. Contohnya batu permata baiduri yang boleh tangkap warna-warna dari luar (lalu dipamerkan pada dirinya membuatkan baiduri sangat cantik, berwarna-warni). Begitulah sepatutnya hati kita apabila tidak disaluti debu-debu.

Hati kita juga umpama cermin. Allah sentiasa pancarkan dari alam ghaib sana banyak perkara termasuklah apa-apa yang kita tahu sejak sebelum lahir lagi. Tetapi hati tkita ak boleh nak tangkap kerana cermin hati kita kotor. Kalau dibersihkan dengan jalan tasawuf, insya-Allah dapat ditangkap balik. (Bila nak mula cuci dengan tarbiyyah tasawuf ni? Nak tunggu lagi ke?)

Cara kita belajar ilmu tinggi-tinggi ni, biar lambat asal selamat. Memang fitrah kita ni nak segera, kerana kita ni dilahirkan dengan fitrah tergesa-gesa. Kena asuh diri supaya tidak terburu-buru.

Pengenalan maqam cinta. Ada pelbagai jalan dan maqam seperti maqam zuhud, harap. Takut dan sebagainya. Tetapi Imam Al-Ghazali kata, maqam cinta ini adalah tujuan terjauh dan maqam tertinggi yang mahu dicapai. Kalau silat, seumpama buah yang ‘last’ sekali tu. Antara darjat-darjat yang tinggi, cintalah yang kemuncak.

Ada orang-orang dahulu yang menolak adanya cinta kepada Allah. Bagi mereka, cinta ini hanya wujud antara sesama makhluk sahaja. Pegangan mereka adalah salah.


CATATAN RINGKAS ISI AUDIO KITAB CINTA 1C

Salah satu penyebab kepada terkarangnya Kitab Cinta ini oleh Imam Al-Ghazali adalah sebagai menjawab pegangan sebahagian orang yang menafikan kewujudan cinta makhluk kepada Allah dan cinta Allah kepada makhluk.

Kelazatan yang terbesar ialah memandang Wajah Allah Taala.

Mengapa bagi ahli-ahli tasawuf, memandang akhirat lebih sedap, padahal orang lain pandang dunia lebih sedap?

Siapakah wali Allah (yang sebenar)?

Siapakah wali Allah menurut kebiasaan pandangan orang ramai?

Pakaian macam ulama? Pakaiannya hebat? Penampilannya macam orang gila? Boleh melakukan hal-hal yang luar biasa? Boleh terbang? Penaggal pun boleh terbang! Boleh ghaib? Boleh muncul di banyak tempat pada satu-satu masa? Boleh tahu isi hati orang? Baling telur ayam tersangkut di udara? Meniti di atas pelepah pisang? Musuh terpelanting apabila menyerang? Suka bertapa di gua-gua? Handal persilatan? Yang boleh melakukan hal-hal itu wali Allahkah?

Menurut bahasa Arab, perlataan “wali” mempunyai beberapa maksud seperti pelindung, orang yang dipercayai, wilayah/daerah, kekuasaan, pertolongan, dekat.

Menurut Al-Quran? Antaranya boleh disemak Surah Yunus keseluruhannya khususnya ayat ke-62-65. Wali secara umumnya ialah mereka yang tiada kehuatiran, tidak bersedih hati, beriman, sentiasa bertaqwa/kuat taqwa, dapat “berita gembira” ketika masih hidup (dan di akhirat nanti juga), dan menyampaikan agama.

Menurut hadis? Antaranya boleh disemak satu hadis riwayat Imam Bukhari, hadis qudsi. Antara tanda-tanda wali ialah menyelesaikan segala amalan wajib, tambah amalan-amalan sunat, dan doa-doa mereka mudah diterima Allah.



CATATAN RINGKAS ISI AUDIO KITAB CINTA 1D

Menurut sumber Al-Quran dan hadis, wali Allah itu ialah orang beriman, kuat taqwanya, bersifat menyampaikan ajaran-ajaran agama, tiada bimbang, tiada sedih, selesaikan amalan-amalan yang diwajibkan, berusaha gigih menambah amal-amal sunat, berilmu hakikat dan ma’rifat, biasa dapat busyra.

Apakah busyra? Berita-berita gembira yang biasa datang kepada para wali dalam rupa mimpi-mimpi yang baik.

Mimpi yang baik adalah 1/46 daripada kenabian.

Orang yang belum dapat memandang hakikat, marahnya cepat dan kuat.

“Tidak beriman seorang daripada kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain-lain.” (Bukhari, Muslim)

“Tidak beriman seorang hamba, sebelum aku (Rasulullah saw) lebih dicintainya daripada isterinya, hartanya dan manusia seluruhnya.” (Bukhari, Muslim)

Nak mencintai Allah ada jalannya, ada latihannya.






No comments: