Thursday, April 21, 2016

Mengapa Ilmu Ma'rifatullah Kelihatan Kurang Berkembang?

Kerana pelajarannya ada yang agak tinggi, ada yang tinggi-tinggi, dan ada yang sangat tinggi. Ada pelajarannya yang agak dalam, ada yang mendalam, dan ada yang sangat dalam. Orang yang diberi kemampuan oleh Allah untuk memahami ilmu yang biasa-biasa itu bolehlah dikatakan sangat ramai iaitu semua orang, untuk ilmu yang agak tinggi itu mula sedikit, untuk ilmu yang tinggi-tinggi itu lagi sedikit, dan untuk ilmu yang sangat tinggi itu amatlah sedikit. Kedudukannya seumpama piramid. Jadi sebenarnya ilmu makrifatullah ini masih terus berkembang, cuma dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang dipilih-Nya, yang tidaklah seramai dalam ilmu-ilmu agama yang lain.

Kerana majlis-majlis pengajian ilmu ma’rifatullah ini tidak ramai guru yang menguasainya. Dalam kalangan yang menguasainya pula, bukan semua yang berkebolehan untuk menyampaikan kepada orang lain. Dalam kalangan yang mampu menyampaikan pula, bukan semua yang berpeluang menyampaikannya.

Kerana biasanya majlis-majlis tarbiyyah yang menyentuh ilmu ma’rifatullah ini tidak diajarkan dalam kuliah yang umum, tetapi dalam kuliah-kuliah yang khas. Dalam kalangan guru-guru yang menyampaikan ilmu ini, bukan semua yang berkebolehan untuk memahamkan orang-orang awam.

Kerana ilmu ma’rifatullah ini ditolak dan dimusuhi oleh orang-orang yang tidak belajar tentangnya, yang belajar tetapi separuh jalan, yang belajar tetapi tidak berbakat memahaminya, yang cuba belajar sendiri-sendiri tetapi gagal memaham, yang pernah belajar daripada pihak yang tidak layak mengajar (oleh guru-guru yang tersalah ilmu, atau yang kurang ilmu), yang belajar tetapi tersalah faham, yang bertaqlid buta kepada kata-kata orang lain, dan seumpamanya.

Abu Zulfiqar
April 2016





No comments: