Friday, April 15, 2016

Isu Wahabi V64 - Zikir Berlari

Tersebutlah al-kisah, kisah lama adanya, sebermula pada zaman-zaman awal Al-Youtube dimasyhurkan ke seantero pelusuk negeri.......

Terteralah pada salah satu daripada video-video di Youtube itu akan perilaku sekumpulan hamba Allah beramai-ramai sedang berlari-lari anak pada suatu lapangan. Adapun kelakuan kaum itu seakan-akan ibadah tawaf pada Baitullahlah adanya. Sambil berlari-lari anak beramai-ramai itu, mulut sahaya-sahaya itu tidak berhenti-henti melafazkan zikir mulia “Laa IlaahaillAllah”.

Maka terbacalah akan hamba yang faqir beberapa tanggapan atau disebut oleh negeri-negeri di atas angin sebagai “comment” adanya. Sukalah hati sahaya meneliti akan komen-komen itu sampailah pada suatu komen yang membuatkan sahaya berasa gundah lagi masyghul di hati.

Berkomenlah akan hamba Allah itu demikian bunyinya sekadar yang berada dalam ingatan al-faqir dengan berlebih kurang ehwalnya :

“Ini semua sesat. Syiah sesat bertopengkan ajaran agama. Sufi ahlul bid’ah. Setiap yang bid’ah itu sesat, dan setiap yang sesat itu ke neraka.”

Berbetulan hamba yang faqir tahu juga akan kaum yang di dalam kitab Al-Youtube itu. Maka al-faqir dan hamba Allah itu berbalas-balas bicaralah di dalam sebuah gelanggang muzakarah yang amat masyhur pada zaman itu yang dinamakan oleh orang-orang di bawah angin sebagai “forum”.

Sekadar ingatan hamba yang faqir, sedemikian inilah berlebih kurangnya bertukar-tukar bicaranya kami berdua, atau disebut juga oleh orang-orang yang di tengah angin sebagai “dialog”:



SI POLAN MENULIS :
Ini semua sesat. Syiah sesat bertopengkan ajaran agama. Sufi ahlul bid’ah. Setiap yang bid’ah itu sesat, dan setiap yang sesat itu ke neraka.

AL-FAQIR MENULIS : Mohon maaf tuan. Kebetulan saya tahu kumpulan yang ini. Mengapa tuan menghukum mereka begini begini.....?

SI POLAN MENULIS :
Berzikir kuat-kuat sambil berlari beramai-ramai bertawaf entah di mana ini tidak pernah dibuat oleh Nabi saw, para sahabat dan para salafussoleh. Zikir menari terlompat-lompat beramai-ramai bukan daripada ajaran Islam. Bertentangan dengan sunnah.

AL-FAQIR MENULIS :
Saya lihat dalam video itu tidak ada pun zikir menari terlompat-lompat beramai-ramai. Yang ada hanyalah sekumpulan manusia yang berlari-lari anak mengelilingi satu kawasan kecil sambil berzikir bersama-sama dengan suara yang jelas kedengaran. Oleh kerana kumpulan itu saya tahu juga sedikit-sebanyak tentang mereka, saya ingin mohon sedikit penjelasan daripada pihak tuan atas hukuman tuan ke atas mereka. Tentang kumpulan-kumpulan lain sama ada yang turut buat aktiviti seperti itu atau tidak, ada video mereka di Youtube atau tidak, tidaklah saya mahu pertahankan, kerana saya tidak tahu latar belakang mereka. Skop saya hanya pada satu kumpulan sahaja iaitu mereka yang ada dalam video itu sahaja. Sekiranya tuan bersetuju dan bersedia, saya boleh jelaskan hal ehwal perlakuan mereka dari awal hingga akhir, dan tuan maklumkan kepada saya bahagian manakah yang bid’ah sesat ke neraka itu.

SI POLAN MENULIS :
Teruskan.

AL-FAQIR :
Saya ceritakan dari asal-usulnya pada zaman dahulu. Sebenarnya mereka ialah orang-orang Islam yang sering berkumpul bersama-sama untuk belajar ilmu-ilmu dan amal-amal agama daripada guru mereka. Mungkin secara mingguan, dwi mingguan, bulanan atau sebagainya, wallahua’lam.

Jadi, berkumpul dengan cara sebegini ada tak berkait dengan bid’aah sesat ke neraka?

SI POLAN MENULIS :
Tak.

AL-FAQIR MENULIS :
Ok. Disebabkan mereka tinggal di kawasan yang sejuk, berais, bersalji, maka sebelum kelas bermula, tuan guru mereka meminta agar anak-anak murid dan para tetamu yang mampu agar memanaskan badan terlebih dahulu. Dia menggalakkan mereka berlari-lari anak. Jadi mereka pun berjoginglah sekitar 10-20 minit ke serata arah di sekeliling kampung itu untuk memanaskan badan.

Setakat ini ada apa-apa yang bid’ah sesat ke neraka tak?

SI POLAN MENULIS :
Tak.

AL-FAQIR MENULIS :
Baik, saya sambung. Apabila para hadirin berjoging ikut suka hati ke mana-mana arah, maka adalah yang kembali awal, ada yang kembali lewat, dan ada juga yang tak kembali-kembali (ponteng atau melepak). Berulang kali berlaku hal yang sama. Tuan guru dan para petinggi mereka pun mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Timbullah idea agar para hadirin diminta berjoging di sekitar rumah tok guru sahaja, tak boleh di luar kawasan. Maka para hadirin yang mampu pun pakat berlari-lari anak di halaman dan sekeliling rumah tok guru itulah.

Setakat ini, ada tak mana-mana bahagian perlakuan mereka yang bertentangan dengan sunnah, atau yang bid’ah sesat ke neraka?

SI POLAN MENULIS :
Tak ada.

AL-FAQIR MENULIS :
Jadi para hadirin yang mampu pun berjoginglah ikut suka hati. Halaman rumah tok guru bukanlah sebesar mana sedangkan hadirin ramai. Bersesak-sesak bertolak-tolak berlanggar-langgar. Masalah le pulak. Tok guru pun pening lagi. Fikir-punya fikir, tercetus ilham agar semua hadirin itu berlari hanya di halaman rumah tok guru, tetapi dalam bentuk bulatan. Macamlah larian di trek perlumbaan 400 meter, cuma bulatan mereka kecil sahajalah. Sekali imbas tengok, memang nampak macam sekumpulan orang sedang tawaf sesuatu sambil berlari-lai anak serentak. Dengan cara ini, semua dapat berjoging dengan selesa dan selamat.

Baiklah tuan. Setakat ini, adakah bid’ah sesat ke neraka pada mana-mana aktiviti mereka?

SI POLAN MENULIS.
Tak ada.

AL-FAQIR MENULIS :
Beres tuan. Mereka pun berlarilah dalam bentuk bulatan itu. Oleh kerana larian mereka terbiar kosong begitu sahaja, tok guru pun menyarankan agar para hadirin berzikirlah sambil berlari-lari anak itu. Macamlah kita berjoging di taman-taman rekreasi. Daripada berjoging kosong, ada baiknya kita selitkan lafaz zikir di mulut. Contohnya sambil berjoging itu sesekali kita sebut “Laa IlahaillAllah”, atau “Ya Allah”, atau “Allahu Akbar”, atau seumpamanya.

Jadi tuan, setakat ini, adakah pada mana-mana bahagian yang bid’ah sesat ke neraka? (*Seingat saya, lama juga saya tunggu respon teman saya ini, baru dijawabnya. Respons daripada dia sangat penting kerana pada semua bahagian dari awal hingga akhir dalam perlakuan orang-orang dalam video itu, kita nak tahu yang mana satu kalau-kalau ada yang boleh kita kaitkan dengan bid’ah sesat ke neraka)


SI POLAN
Tak ada. Belum lagi. Apabila sampai tempatnya, nanti ana akan bagi tahu. Anta tak perlu tanya. Teruskan je cerita anta.

SAYA MENULIS :
Alhamdulillah, syukur. Cantik tuan. Baiklah. Para hadirin pun, sambil berjoging itu berzikirlah masing-masing dengan lafaz sendiri-sendiri. Ada yang bunyikan “Laa IlaahaillAllah”, ada yang “Ya Allah”, ada yang “Ya Hayyu” dan sebagainya. Dah bergema macam lalat langau pulak dah. Bayangkan puluhan/ratusan orang melafazkan zikir sendiri-sendiri. Macam-macam bunyi. Apabila tergabung bunyi-bunyi itu, tak tentu halalah biji butirnya. Mengaum berdengung macam lebah bunyinya.

Tok guru pun berfikir lagi. Apa penyelesaiannya untuk bagi nampak cantik dan kemas. Datang idea! Apa kata semua orang sebut zikir yang sama sahaja iaitu “Laa IlahaillAllah”?

Maka semua hadirin pun memanaskan badan dengan cara berlari-lari anak beramai-ramai beberapa minit di halaman rumah tok guru mereka sebelum majlis ilmu dan amal bermula dalam bentuk bulatan dan sambil itu mereka isi kekosongan larian sambil berzikir beramai-ramai dengan lafaz yang sama iaitu “Laa IalaahaillAllah”.

Itulah yang kita sama-sama tonton dalam video tersebut.

Jadi tuan, setakat ini (sudah habis semua dah pun), ada tak pada mana-mana bahagian dalam perlakuan mereka itu yang bid’ah sesat ke neraka?

SI POLAN :
(*Tak berjawab. Setelah dua tiga hari menunggu, saya pun cuba buat posting lagi sebagaimana di bawah untuk tarik perhatiannya agar menjawab)

SAYA AL-FAQIR MENULIS :
Yang tuan hukumkan setelah menonton video yang kita diskusikan tu, pada bahagian mana yang ada : ““Ini semua sesat. Syiah sesat bertopengkan ajaran agama. Sufi ahlul bid’ah. Setiap yang bid’ah itu sesat, dan setiap yang sesat itu ke neraka.” untuk sama-sama kita nilaikan dengan nas dan dalil?

SI POLAN :
(*Langsung tidak berjawab. Daripada zaman forum sampai forum itu pun dah tutup. Mungkin dah 10 tahun atau lebih. Padahal pada thread-thread lain di forum itu, si polan aktif berforum membawa fahaman Salafi Wahhabinya. Tapi dalam thread dialog antara kami ini, dia membisu 1001 bahasa).


PENUTUP
Biasa kita lihat pasukan bola sepak, unit-unit beruniform, tentera, polis, pelajar--pelajar sekolah dan sebagainya yang berjoging beramai-ramai. Salah seorang contohnya menyebut : “Laaari, laari!” lalu ahli-ahli yang lain pun menyahut :“Laari, laari!” Berirama bunyi suara mereka. Ketuanya sebut pula : “Kiitaa laarii!” lalu disahut oleh anak-anak buahnya : “Kiitaa laarii!”. Rasanya para pembaca sudah biasa melihat keadaan sebegini sama ada secara live mahupun di televisyen. Tak akan ada siapa kata bid’ah sesat ke neraka.

Tapi cuba kita bawa kumpulan-kumpulan itu berjoging, lebih-lebih lagi kalau berkopiah putih, atau jemaah masjid, atau pelajar-pelajar sekolah agama berjoging keliling padang dalam keadaan ditukar laungan mereka kepada : “Laa IlaahaillAllah” atau zikir-zikir lain. Tak mustahil sekejap sahaja akan sampailah hukuman “bid’ah sesat ke neraka” atau label-label Islam versi Nusantara, ahli bid’ah, sufi sesat, dan sebagainyalah yang kita semua sudah maklum. Jadi, lebih baiklah berjoging sambil menyanyi lagu pop daripada berjoging sambil lidah basah menyebut zikrullah.

Jelaslah kepada kita betapa mudahnya orang-orang seperti ini menghukum bid’ah sesat ke neraka dan sebagainya hanya dengan penglihatan mata kepala dan bukannya dengan penilaian mata hati. Apabila terlihat sahaja sesuatu amalan yang tidak pernah dicontohkan oleh Rasulullah saw, maka biasanya akal mereka dengan mudah hendak melabel dan menghukum dengan pelbagai label dan hukum seperti contohnya bid’ah sesat ke neraka, atau syi’ah, ahlul bid’ah, bukan ahlus sunnah wal jamaah, syirik, ahbash, khurafat, kafir, sufi sesat, ajaran sesat, penyembah kubur, Islam Nusantara, falsafah Yunani, engkar sunnah, atau yang lain-lain. Semoga Allah selamatkan kita daripada terjebak ke dalam fahaman-fahaman yang seperti ini.

Wallahua’lam.



Abu Zulfiqar
15 April 2015

1 comment:

Anonymous said...

Antara ciri golongan "ulul albab" sbgmn disebut dlm Surah Ali Imran ayat 191, sentiasa dia dlm keadaan berzikrullah samada dia dlm keadaan berdiri, duduk atau berbaring. Dlm keadaan berdiri, mungkin dlm keadaan berjalan, berlari, melakukan senaman, atau mungkin dia menari dlm batasan dibenarkan agama, tetap dia tidak mensia siakan masa yg ada utk dia tetap berzikrullah. Begitu juga bila mungkin dia sedang berkerja, tetap dia tidak mensia siakan masanya utk terus berzikrullah. Hanya dlm keadaan atau tempat tempat tertentu yg tidak sesuai utk zikrullah dgn lisan mk dia zikrullah dlm hatinya. Jika tidak zikrullah mk dia tafakkur pula akan ciptaan ciptaan Allah swt dan mentadabbur akan KebesaranNya.

Mudah mudahan saudara saudara kita yg terpengaruh dgn fahaman yg mudah membid'ahkan amalan saudara seagama itu diberi kefahaman yg lebih terhdp apa yg tersirat disebalik yg tersurat dr dalil dalil Quran dan Hadis.

Perlu juga kita fahami, kbnykn umat Islam hanya belajar agama asasnya sahaja. Kita yakin dgn rukun iman yg enam, kita menerima dan kita tunaikan semampunya rukun Islam yg lima, kita laksanakan sedayanya segala yg wajib, kita lakukan seberapa dpt yg sunat sunat, kita jauhi semampu mampunya segala yg haram, dan kita tinggalkan seberapa dpt yg makruh. Kita baca Quran dan Hadis yg kita fahami sekadarnya, dan kita belajar agama asasnya sahaja. Dgn ilmu dan fahaman yg terbatas seringkali, mudah kita terpengaruh dgn aliran fahaman zahiriah berkenaan.
Apa yg penting jauhi sikap ego berlebihan rasa benar sendiri yg boleh membawa kpd sikap angkuh, dan jauhi juga sikap taksub dgn pendapat dan pandangan golongan sendiri, yg dgn sikap sedemikian boleh membawa kpd kesesatan.
Elok juga kita dgrkan pandangan pandangan yg mungkin tak sealiran dgn kita utk kita pertimbang dgn saksama sesuai tidaknya sesuatu pndgn. Tidakkah disaran dlm AlQuran Surah AzZumar ayat 18, yg juga menjadi cirinya "ulul albab" itu "Org org yg mendgrkan perkataan perkataan, mk mrk mengikuti yg terbaik antaranya, mk mrk itulah org org yg diberi petunjuk oleh Allah (swt) dan mrk itulah org org yg berakal sempurna (ulul albab)".