Saturday, March 26, 2016

Suami Kaki Order

Alhamdulillah, syukur……setakat hari ini Allah mudahkan urusan makan dan minum saya. Satu nikmat yang sangat besar dan mesti banyak disyukuri.

Di rumah, hidangan makan berat saya cukup mudah untuk disediakan. Hanya nasi putih dan sayur kobis goreng, ini sudah cukup untuk membuka selera dan mengeyangkan. Lagi pun saya memang jenis yang tidak makan banyak.

Kobis gorengnya pun sangat ringkas. Hanya memerlukan sedikit minyak masak, sedikit bawang, sedikit garam, mungkin sedikit air, dan sayur kobis. Tidak perlu perasa tambahan, kicap, potongan cabai, serbuk kunyit dan lain-lain. Mudah kan? Cuma jika isteri saya memasak, dia akan buat lauk-lauk lain untuk dirinya dan anak-anak. Takkanlah mereka nak makan macam hidangan saya. Jadi, saya pun tumpang-tumpang jugalah lauk-lauk yang ada. Kebetulan isteri saya ni pandia juga memasak. Jika tidak ada pun, saya tidak berasa kurang, kerana sayur kobis goreng sudah cukup. Mudah dan cepat untuk disediakan. Harap-harap Allah terus berikan kemudahan ini kepada saya.

Tadi cerita makan berat, ini cerita makan ringan pula. Maksud makan ringan ni ialah sarapan, minum pagi, minum petang, atau pada bila-bila yang hidangannya tidak seberat makan tengah hari atau makan malam.

Setakat hari ini (untuk masa akan datang wallahua’lam lah), saya tidak main order dengan isteri, apatah lagi dengan anak-anak. Makan minum ringan untuk diri sendiri ni (untuk tetamu/orang lain, lain kiralah), semua saya buat sendiri, kecuali pada waktu tidak sihat. Setahun sekali pun rasanya susah nak dapat keadaan yang saya order : “kopi satu”, “tolong buatkan teh”, “tak buat apa-apa kuih ke?”, “abang berasa nak makan sekian-sekian le”, “tak dak ka cucoq2 ka apa ka?”, “buatkan mi goreng”, atau sebagainya. Apa yang saya nak minum, saya buat sendiri. Apa yang saya nak makan, saya ambil sendiri atau buat sendiri. Lagi pun biasanya saya hanya makan dan minum apa yang tercapai tangan dalam masa yang cepat seperti roti, biskut, air kosong, kopi segera, koko dan sebagainya.

Pernah beberapa kali isteri saya bertanya, yang saya ni tak mahu ke minta dia buatkan apa-apa hidangan ringan atau minuman? Selagi saya boleh bangun buat, tidak terlantar sakit, insya-Allah semua saya buat sendiri. Nak seronokkan isteri, mungkin setahun sekali saya order le jugak. Makanan yang ringkas-ringkas sahaja pun macam cucur tepung manis. Ye lah, sifat rata-rata isteri, sesekali mereka berasa rindu untuk menyediakan sesuatu hidangan kepada suami mereka.

Makan malam dan tengah hari memang kena minta jasa baik orang rumah memasaklah, kerana saya tidak punya kesempatan. Pada zaman-zaman punya kesempatan dulu, selalu jugak saya buat walaupun sekadar lauk yang mudah-mudah. Lagi pun kami jarang makan tengah hari bersama kerana masing-masing bekerja. Malam pula kadang-kadang sahaja makan berat. Biasanya sama ada beli makanan di kedai ataupun makan di kedai. Hari cuti pula memang biasanya keluar dan akan singgah makan di mana-mana.

Beberapa tahun lepas, pernah seorang hamba Allah bertanya, mengapa saya suka sediakan sendiri, tidak order-order? Bagi dirinya, biasa sahaja dia minta kopi, kuih, goreng-goreng dan lain-lain kepada isterinya. Hal itu bukanlah suatu kesalahan malah perkara biasa sahaja dalam masyarakat kita.

Saya mengiyakan kata-katanya. Hal itu bukan satu kesalahan pun. Tapi sebenarnya, saya membiasakan diri berbuat demikian kerana saya lebih suka jika masa yang digunakan oleh isteri saya untuk menyelesaikan order-order saya itu digunakannya untuk :

a)       urusan-urusan agama untuk dirinya (seperti membaca dan membuat nota buku-buku agama, menyelesaikan zikir-zikir harian, menonton kuliah-kuliah agama, membaca Al-Quran dan membaca maksudnya, menambah hafazan, menambah amal-amal sunat, berlatih perubatan nabawi dsb), dan
b)      urusan-urusan agama untuk umat Islam (seperti menyebarkan dakwah melalui media-media, merancang pengisian program usrah, menguruskan dokumen-dokueman gerak kerja, menguruskan akaun gerak kerja, mentarbiyyah anak-anak dsb).

Makan minum saya, usah khuatir. Saya boleh cari sendiri. Lebih baiklah masa itu digunakannya untuk hal-hal yang lebih berfaedah di atas. Saya tidak ada berasa kecil hati, bahkan sangat gembira.

Hamba Allah itu tidak memberi sebarang respon setelah mendengar jawapan saya. Nak kata ya pun tidak, tidak pun tidak. Angguk pun tidak, geleng pun tidak. Tak tahulah bagaimana penerimaan dia. Selepas terdiam beberapa lama, perbualan kami pun berpindah ke topik lain.

Saya bercerita ini bukannya apa, sejak kecil dah banyak pengalaman tengok suami yang jenis order-order ni. Sampaikan kita lihat isterinya dah macam tukang masak atau tukang bancuh air kedai kopi. Kita pulak yang kesian. Yang si isteri pun, menurut sahajalah walaupun kadang-kadang tu tengah dalam kepayahan.  Tak dilayan, suara di suami mula nak meninggi pulak.

Sudah lama tak jumpa situasi ini, tapi baru-baru ini ada terjumpa, suami yang asyik oooorder pagi petang malam. Dari situlah timbul ilham hendak menulis ni. Order-order tak salah, cuma kena berpatut-patutlah. Kan gitu?

Abu Zulfiqar
24 Mac 2016

No comments: