Thursday, August 6, 2015

Tahniah, Teks Khutbah Aidil Fitri Perak!


Sudah lapan atau sembilan tahun saya membacakan khutbah Aidil Fitri dan Aidil Adha yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak, dan teks kali ini memang terbaik sehingga mendapat pujian dan diperkatakan di serata pelusuk negeri Perak Darul Ridzuan tempoh hari. Berikut dikongsikan antara petikan teks hebat tersebut :


@@@@@@@@@@

Gema takbir dan tahmid bagi menandakan kemenangan tidak akan cukup sekadar kita hanya berjaya mendirikan ibadah fardhu sahaja seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain sedangkan kita tidak pernah diberi peluang untuk merasai betapa nikmatnya keadilan perundangan Islam, untungnya menggunakan sistem ekonomi Islam, dan terjaminnya hak orang Islam dan bukan Islam di bawah naungan perlembagaan negara Islam.

Bermula dari penjajahan sehingga kini, kita hanya mampu melihat sistem Islam di dalam kitab-kitab fekah sahaja tanpa mampu dilihat ia terlaksana di atas bumi yang nyata walaupun kegagalan demi kegagalan ideologi dan sistem ciptaan manusia dalam menyelesaikan pelbagai masalah sosial terutama yang semakin berat seperti penagihan dadah, kecurian, perzinaan, perkosaan, rasuah, pecah amanah, namun para pemimpin lebih rela mencari sistem yang rapuh dan reput seperti sarang labah-labah daripada memberi peluang kepada Islam untuk dilaksanakan.

Benarlah firman Allah dalam ayat 41 Surah Al-Ankabut : “Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahuinya.”

Muslimin muslimat yang diberkati Allah,

Gema takbir dan tahmid yang berkumandang ini juga menunjukkan bahawa kita begitu menginginkan agar kebajikan, kepentingan serta kekayaan hasil pendapatan negara dapat diagihkan secara menyeluruh, bukannya berkisar dalam kalangan sesetengah golongan sahaja.

Suatu peristiwa untuk renungan bersama di mana ketika Damsyik dan Syria diancam serangan tentera Tatar, maka pemerintah memutuskan untuk mengenakan cukai tambahan ke atas rakyat bagi membiayai peperangan. Di tengah-tengah keresahan rakyat yang tidak mampu membayar cukai itu maka tampillah Asy-Syeikh ‘Izzuddin ‘Abdussalam yang terkenal dengan gelaran Sultanul ‘Ulama menentang perkara itu dan meminta agar dijual terlebih dahulu kesemua barangan mewah milik pemerintah dan milik peribadi kakitangan pemerintah, sehingga tidak ada lagi perbezaan antara pemerintah dan rakyat. Sesudah itu barulah boleh dikutip cukai jika kewangan masih tidak mencukupi untuk membiayai peperangan itu.

Inilah keindahan dan keadilan Islam yang menekankan susah dan senangnya sesebuah negara merupakan tanggungjawab bersama antara pemimpin dan rakyat, bukannya ketika negara senang hanya sesetengah golongan yang menikmatinya tetapi apabila negara ditimpa kesusahan amaka hanya rakyat yang menanggungnya.

Dalam memastikan keharmonian dan kemajuan yang stabil antara kebendaan dan kerohanian, maka kerjasama antara pemimpin dan ulama amatlah penting kerana mereka menjadi tunjang utama keutuhan negara. Jika rosaklah pemimpin maka akan binasalah negara. Begitu juga apabila rosaknya ulama maka akan huru-haralah negara.

Oleh itu pemimpin mesti bersifat terbuka apabila ditegur kerana tersalah dan ulama pula mesti berani dalam memberi nasihat. Janganlah pula pemimpin terpedaya dengan kata-kata ulama dunia yang mengampu di mana peringatan mengenainya pernah dicatat dalam Kanun Acheh Darussalam oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, seorang pemerintah Kesultana Melayu Islam Acheh di mana antara katanya : “Dan hendaklah raja-raja itu menjauhkan diri daripada bersahabat dengan ulama jahat dan ulama jahil dan ulama tamak iaitu ulama yang suka memuji raja dan perbuatannya mengharap keredhaan raja. Maka ulama itu tamak, yakni tamak kepada dunia. Maka ulama itulah yang membuat negeri huru-hara dan memecah-belahkan rakyat seperti Dajjal…”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd.

Kita begitu mengharapkan agar laungan tahmid tanda kesyukuran dan takbir tanda membesarkan Allah ini bukan hanya disebut di bibir sahaja, tetapi insya-Allah ia turut memberi kesan kepada hati dan kelakuan kita dalam menyatakan kesungguhan dan keaykina kepada seluruh ajaran islam dari segi ibadah, perundangan, perlembagaan dan cara hidup Islam.

Keadilan dan kehebatan perlembagaan serta perundangan Islam pernah dirasa oleh masyarakat China, India  dan melayu ketika islam menguasai negara-negara ini selama beratus tahun (dahulu).  Oleh itu, jika kita satukan semua bangsa di negara ini dengan semangat kebangsaan, maka ia adalah berbahaya kerana setiap bangsa akan menjaga kepentingan dan menuntut hak masing-masing sebagai warganegara. Setiap bangsa sama ada Melayu, Cina dan India akan bersaing sesame mereka dalam mencari kuasa politik dan ekonomi di mana bangsa yang berjaya menguasai perkara tersebut akan berjaya menguasai bangsa lain.

Jumlah umat Islam makin bertambah tetapi pada hakikatnya tidak berperanan sebagai seorang muslim, ditambah lagi (dengan) tipisnya pegangan agama, maka kedudukan kita berdasarkan bangsa adalah semakin lemah.

Sebelum terlambat maka yakinlah kita bahawa dengan menjadikan islam sebagai asas perpaduan maka kita akan aman di mana islam boleh dianuti oleh semua bangsa (sedangkan bangsa seseorang tidak boleh bertukar atau dianut). Manakala orang bukan Islam yang tidak mahu memeluk Islam turut dapat merasai keadilan dan keindahan Islam di mana perkara ini tidak terdapat dalam agama mereka. Dengan ini lama-kelamaan mereka juga akan tertarik kepada Islam sama ada mereka memeluk Islam ataupun sekurang-kurangnya mereka tidak melawan Islam setelah merasai keindahan Islam sebenar.

Ingatlah, bahawa kita bangsa Melayu dimuliakan oleh Allah dengan Islam dan bangsa Melayu akan hina kerana meninggalkan cara hidup Islam.


@@@@@@@@@

No comments: